MUHAMMAD SHAHEED BIN MOHAMAD SHUHAIMI


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, June 10, 2011

Tanda Lelaki Sayang...


Apabila seorang lelaki benar-benar jatuh cinta dan setia pada kekasihnya dengan ikhlas, perubahan sikapnya dapat dilihat dengan jelas. Hati lelaki yang dianggap keras selama ini, tiba-tiba menjadi selembut kapas. Bahkan lelaki yang mabuk cinta sanggup berkorban dan melakukan apa sahaja untuk kekasihnya. Sekeras manapun hati lelaki ia akan mengalirkan air mata apabila hatinya dilukai. Namun kaum wanita janganlah mengambil kesempatan di atas pengorbanan yang dilakukan lelaki untuk mu itu.

Sekiranya kamu menyedari teman lelaki kamu sentiasa bersungguh-sungguh melakukan sesuatu untuk kamu dengan rela hati, nyata kamu tidak silap memilih teman hidup. Situasi ini terang-terangan sudah menjelaskan perkara sebenar. Dia bukanlah jenis orang yang berdamping denganmu sekadar suka-suka ataupun untuk mengambil kesempatan,tetapi atas dasar cinta yang sebenar. Betapa beruntungnya kamu.

Selain itu, jika teman lelakimu sentiasa buat hatimu senang dan terhibur, itu tandanya dia inginkan perhubungan yang serius daripada kamu. Sudah tentu dalam sesebuah hubungan kita inginkan sesuatu kenangan yang manis untuk dikenang. Jadi tidak hairanlah lelaki sebegini sentiasa inginkan suasana ceria setiap kali berdampingan dengan orang yang dianggap istimewa dalam hidupnya. Padanya, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membuatkan hati orang yang disayangi sentiasa senang dan terhibur.

Jangan kamu anggap teman lelakimu seorang yang kuat membebel sekiranya setiap masa dia cuba memberi kamu nasihat. Ingat, nasihat bermaksud mengingati. Dia akan sentiasa mengingati orang yang dia sayangi agar hubungan yang terjalin berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Itu tandanya dia amat menyayangi perhubungan di antara kamu. Jadi, terbukalah mendengar nasihatnya.

Cemburu! Satu sikap yang paling tidak disukai oleh kebanyakan insan yang bercinta. Namun jika diamati, cemburu sebenarnya tanda seseorang itu terlalu menyayangi kamu dan tidak mahu hati kamu berubah. Bukan bermaksud dia ingin mengongkong kebebasanmu, tetapi dia cuba mengambil berat setiap apa yang dilakukan oleh kekasihnya pada setiap inci. Jika kamu setia padanya, tidak salahkan dia cemburu asalkan tidak cemburu buta!

Jika sudah sayang, macam-macam akan kamu fikirkan termasuklah bimbang akan kehilanganya. Begitu juga jika teman lelakimu menyatakan dia selalu memikir dan risaukan kesudahan hubungan kamu. Ini bermakna dia selalu fikirkan mengenai hubungan kamu dan bagaimana untuk menyelamatkannya dari berakhir begitu sahaja. Kalau boleh biarlah ke jinjang pelamin, baru berbaloi!

Kamu pasti pernah melalui situasi di mana teman lelakimu marah dan sentiasa curiga setiap kali kamu bercerita atau berjumpa mengenai lelaki lain di hadapannya. Jangan risau. Bukan bermakna si dia ingin mengongkong perjalanan hidupmu, tetapi risau sekiranya kamu mula berpaling tadah apalagi setelah berjumpa dengan lelaki yang boleh menjadi pencabar terdekatnya. Ini tandanya cintanya begitu mendalam terhadap mu..

Ada juga lelaki yang cepat berasa sensitif dan mudah marah sekiranya apa yang diperkatakannya tidak diambil perhatian, lebihlebih lagi dari orang yang dia sayangi. Baginya kamu bersikap acuh tidak acuh. Hal ini boleh menimbulkan perasaan cemburu meluap-luap, tambahan pula sekiranya kamu boleh menjadi pendengar setia apabila berdampingan dengan orang lain. Pasti dia merasakan dirinya tidak berguna pada kamu.

Lucu tapi hakikatnya begitulah apabila teman lelakimu berperangai tidak ubah seperti anak-anak kecil semata-mata untuk mendapat perhatian daripadamu. Si dia mahu bermanja dan inginkan kekasih hatinya melayannya lebih daripada orang lain yang pernah kamu sayang. Kalau dia merajuk hati, sesekali cubalah untuk memujuknya. Jangan pula kamu sangka manjanya itu mengada-ngada. Bukan senang lelaki sanggup mengubah sikap machonya kepada seorang lelaki yang berperawakan manja. Hanya untuk orang yang disayangi sahaja.

Kamu hadapi masalah dan orang pertama yang datang membantumu adalah teman lelakimu. Tandanya dia tidak mahu melihat kamu susah dan rasa bertanggungjawab untuk membantu. Si dia akan menjadi orang yang paling rajin dan sanggup melakukan apa sahaja asalkan kamu senang dan tidak dibebani kerja ataupun masalah. Beruntungnya!

Kamu memberitahunya yang kamu akan ke satu-satu tempat untuk satu jangka masa yang agak lama. Tiba-tiba dia jadi menggelabah dan tidak menentu. Itu tandanya si dia langsung tidak boleh berjauhan darimu dan kamu tidak perlu ragu lagi tentang kesetiaannya.

Sekiranya teman lelakimu sentiasa bertanyakan soalan yang sama, “you masih sayang i?”, jangan anggap itu satu persoalan yang membosankan. Itu tandanya si dia tidak mahu kasih sayang kamu kepadanya menjadi luntur. Sebab itulah, kalimah tersebut sentiasa diulang-ulang agar kamu tahu betapa si dia sentiasa mahu kamu ingat diri kamu sudah dimiliki olehnya.

Si dia sanggup menitiskan air mata demi kekasihnya.. Bukan semua lelaki anggup menitiskan air mata hanya untuk seorang perempuan. Tidakkah kamu terharu melihat seorang lelaki yang sanggup menitiskan air mata demi kamu. Itu membuktikan cintanya begitu kuat buatmu.

Dan pengorbanan paling besar sekal gus menjelaskan lagi betapa si dia menyayangi dirimu apabila teman lelakimu lebih mementingkan diri kamu berbanding dirinya. Apa sahaja yang dilakukan semata-mata untuk mu. Asalkan kamu sentiasa selesa dan berasa selamat setiap kali bersama dirinya. Jadi, HARGAILAH Lelaki dan terimalah mereka seadanya.... Berilah diri kamu peluang untuk kembali mencintai seseorang yang bergelar LELAKI.
Read More..

Wednesday, June 8, 2011

Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya


PERIBAHASA ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ bermakna kita tidak mendapat kejayaan jika tidak berusaha, manakala ‘jangan pula sampai jadi seperti pungguk yang rindukan bulan’ pula bermakna jangan berharap pada sesuatu yang mustahil diperolehi.
Yang penting, kita harus melihat keupayaan diri, bak kata orang: “Bertindak biar berpada-pada. Jangan sampai benda yang diharap tidak dapat, kelak diri sendiri yang menderita."
Namun, semua itu bergantung kepada niat. Jika betul niat kita, tidak mustahil kejayaan itu menjadi milik kita, tetapi jika sebaliknya, terimalah kepayahan yang bakal dilalui di atas kesilapan sendiri.

Sebenarnya kunci setiap kejayaan ialah tidak mebazirkan masa yang terluang seperti kata pepatah " Masa itu Emas " kerana kejayaan itu adalah milik sesiapa saja. Tidak kira siapa kita, jika rajin berusaha dan tidak membazir masa yang terluang, kejayaanlah yang akan menjadi upahnya.

Ketika usia mudalah seseorang perlu menyemat sifat bersaing, tetapi biarlah persaingan yang sihat. Pupuk sifat berlumba-lumba untuk menuju ke puncak menara gading.

Lihatlah bangsa lain dan pelajari cara mereka mengejar kejayaan dalam hidup. Mereka berusaha bersungguh-sungguh.Jarang sekali kita melihat mereka berfoya-foya menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah.

Habis saja waktu sekolah, mereka terus duduk di rumah mengulangkaji pelajaran. Bagi golongan remaja dan dewasanya pula, mereka tidak jemu berusaha untuk mencari ilmu, walau dengan cara apa sekalipun.

Sewajarnya, kita menjadikan semua itu sebagai contoh dan pengajaran. Jangan jadikan bangsa kita sebagai bangsa yang ketinggalan. Kita perlu bersemangat untuk memartabatkan bangsa sendiri.

Dalam aspek ini, ibu bapa juga harus memainkan fungsi betul. Jangan ada sifat sambil lewa ketika mendidik anak. Jadikan ia sebagai tanggungjawab dan agenda utama.Ini kerana tidak dapat dinafikan setiap kejayaan anak terletak pada ibu bapa mereka. Mungkin kita pernah mendengar cerita mengenai orang dulu mendidik anak mereka. Cuba kita bandingkan dengan sekarang, jauh betul bezanya.

Tidak salah kalau hendak manjakan anak, tetapi biar setimpal dengan keadaan. Jangan pula hanya mengikutkan kata mereka, sedangkan kata-kata kita langsung tidak dihiraukan.

Berbalik semula kepada topik asal kita yang ingin diperbincangkan. Setiap kita mesti ada impian dan matlamat. Kalau tidak ada, apa gunanya hidup, betul tak?

Menanam impian memang mudah. Yang sukar ialah cara merealisasikan setiap impian. Banyak dugaan harus ditempuhi. Pelbagai persediaan harus dibuat. Persiapan juga harus disusun rapi.

Umpama nak membina sebuah rumah. Kita harus menyediakan pelan terlebih dulu. Untuk menghasilkan rumah yang sempurna, empat faktor utama perlu dititikberatkan adalah tiang, dinding, lantai dan seterusnya bumbung. Jika kurang satu daripadanya, tidak sempurnalah rumah yang dibina itu.

Tidak jauh beza dalam membina kejayaan. Empat faktor utama perlu diterapkan dalam merialisasikan impian kita. Yang utama ialah niat diikuti dengan ketekunan berusaha.

Seterusnya perlu ada pengalaman atau sedikit pengetahuan mengenai ke mana arah usaha itu dan akhir sekali mesti ada sifat jujur kerana ia menjanjikan keberkatan di dalam setiap usaha dilakukan.

Jadi kesimpulan utamanya di sini ialah perancangan. Setiap susun atur perancangan itu mesti diikuti satu persatu. Memang tiada jalan pintas. Cuma kita perlu kreatif untuk menggubahnya. Kreatif yang macam mana?Kreatif dalam menguruskan masa.

Gunakan kesilapan masa lalu sebagai rujukan pada masa akan datang. Kumpulkan setiap kelemahan yang ada pada diri kita dan cari jalan untuk membina kekuatan pada setiap kelemahan itu.

Dalam hal ini, perkara yang paling penting ialah kefahaman terhadap nilai agama perlu diterapkan dalam diri bagi menghasilkan rohani yang sihat.Ketiadaan pemahaman agama akan membuatkan pintu hati kita tertutup.Itu sebabnya ada yang merungut setiap kali usaha yang dilakukan tidak berhasil. Fikirkanlah di mana kekurangannya.

Di waktu mudalah kita perlu beramal. Jangan sesekali beranggapan kita akan hidup kekal lama. Dan jangan juga beranggap kesenangan yang kita peroleh sekarang adalah milik kekal.

Dengarkan kata-kata ini dan fikirkanlah ia sebagai pedoman kita semua: “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah nasib diri mereka sendiri.
Read More..

Cabar Diri Untuk Berjaya


Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Malah sekiranya seseorang itu telah melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu melakukannya juga. Kita mungkin tidak bercita-cita terlalu tinggi seperti Datuk Azhar Mansor yang berlayar di lautan luas seorang diri; atau seperti Datuk Abdul Malek yang berenang merentasi Selat Inggeris; atau seperti Shalin Zulkifli yang menjadi ratu bowling negara; atau seperti Yap Sui Lin yang mendapat 16A dalam SPMnya.

Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kita atau yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita nanti. Sekurang-kurangnya, kalau kita sebagai pekerja maka berusahalah untuk menjadi pekerja yang cemerlang hingga menerima anugerah dari majikan. Kalau kita seorang usahawan binalah empayar perniagaan kita yang mampu diwarisi oleh anak cucu. Kalau kita sebagai seorang pelajar belajarlah dan berusahalah hingga sampai ke peringkat yang tertinggi.

Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetapkan olehnya. Oleh itu kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri. Bagi seseorang usahawan, memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan itu adalah menepati sasaran awalnya dan baginya ia adalah satu kejayaan. Tetapi RM10,000 ini mungkin suatu kegagalan bagi usahawan yang pada kebiasaannya mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan. Apabila kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa. Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju. Oleh itu perlu bagi kita setelah mencapai satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju ketahap yang seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.

1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi

Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.

2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain

Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa.

Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita?

3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati

Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi.


4. Soal Diri Dengan Soalan Positif

Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya:

Kenapalah aku gagal?
Mengapa nasib aku sentiasa malang?
Kenapalah orang semua tak suka aku?
Apalah nak jadi dengan aku ni?

Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan.

Apa yang belum aku lakukan lagi?
Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi?
Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini?
Siapa yang boleh bantu aku?

Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.

5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda

Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’ kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak ‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula. Tidak ‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.

Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran.

Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’ yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.
Read More..